Friday, January 29, 2010

25 & 26 Julai serta 1&2 Ogos 2009: Kursus Pertolongan Cemas Asas (KPCA)

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Peribahasa tersebut tidak lagi asing untuk semua dan masing-masing faham maksud di sebalik peribahasa tersebut. Bagi seorang ahli sukarela BSMM, pengetahuan pertolongan asas adalah suatu pelengkap asas. Oleh itu, BSMM Detachment 88E telah mengadakan Kursus Pertolongan Cemas Asas pada 25&26 Julai serta 1&2 Ogos 2009.



Kursus Pertolongan Cemas Asas ini mempunyai seramai 47 orang ahli BSMM yang baru dan berminat untuk mendapatkan pengetahuan pertolongan asas tersebut. Penceramah yang telah dijemput untuk memberikan ceramah adalah jurulatih yang amat berpengalaman. Penceramah yang dihormati adalah Tuan Muniandy.

Pengetahuan pertolongan yang asas bermula dengan memberikan teori-teori pertolongan cemas asas yang perlu diketahui semasa membuat diagnosis awal sebelum memberikan rawatan. Antara skop pengajaran dan pembelajaran yang diberi adalah tujuan pertolongan cemas, cara mendiagnosis menggunakan DR ABC, cara melakukan CPR, jenis patah, jenis luka, jenis luka terbakar serta lain-lain simptom yang perlu diketahui untuk membolehkan seseorang ahli BSMM untuk memberikan rawatan awal.


Penceramah juga tidak lupa untuk menunjukkan cara yang betul untuk membuat CPR. Kedudukan serta langkah-langkah mengikut turutan yang betul juga ditunjukkan oleh penceramah yang dedikasi. Penjelasan akan kepentingan serta langkah-langkah berjaga-jaga ketika memberikan bantuan pernafasan dan tekanan di atas dada seseorang mangsa ketika melakukan CPR juga telah diberitahu dengan teliti dan ditegaskan kepada setiap ahli BSMM yang hadir ke dalam kursus ini. Selain demonstrasi, peserta kursus juga diberikan peluang untuk melakukan praktikal CPR agar turutan yang salah dapat diperbetulkan.




Selain pengenalan secara teori tentang ilmu pertolongan cemas, jenis-jenis balutan yang sesuai digunakan semasa memberikan rawatan awal juga amat penting. Setiap peserta kursus juga telah diberikan demonstrasi cara melakukan balutan yang betul dan kemas ke atas seseorang mangsa dan peluang untuk mencuba sendiri cara melakukan balutan yang mencapai objektif serta kemas.




CPR adalah suatu pemahaman sains;

akan tetapi cara melakukan balutan adalah suatu hasil seni.




Inilah petua yang diberikan oleh Tuan Muniandy selaku penceramah utama kursus pertolongan cemas asas ini. Petua yang menjadi ingatan setiap peserta kursus pertolongan cemas asas ini.

Kursus Pertolongan Cemas Asas ini berlangsung selama 4 hari dengan ceramah yang mengambil beberapa jam. Namun di sebalik ceramah yang berjam-jam lamanya, ilmu pertolongan cemas asas menjadi begitu menarik dan senang dipelajari bagi setiap peserta kursus ini. Walaupun penat menyerap ilmu pertolongan cemas yang begitu banyak dalam masa yang begitu singkat, para peserta begitu gigih mempelajari dan senantiasa menanya sekiranya mempunyai kemusykilan.




Ceramah yang berlangsung selama 2 hari diakhiri dengan Ujian Penilaian untuk menentukan kelayakan dan kebolehan peserta untuk menguasai ilmu pertolongan cemas. Ujian teori yang berlangsung selama 1 jam diikuti pula dengan ujian Balutan sebagai pelengkap kepada penilaian seseorang ahli BSMM. Pemeriksa kami untuk kursus ini adalah Tuan Muniandy.

Dengan berakhirnya Ujian Penilaian maka berakhirlah Kursus Pertolongan Cemas Asas ini. Pada 2 Ogos 2009, majlis penutupan kursus ini diadakan di dalam kalangkasa Kolej Ibrahim Yaakub dan dihadiri oleh Pengetua Kolej, Dr. Ruslin bin Amir, kakitangan pentadbiran kolej serta para penceramah yang dihormati sekalian.




Walaupun ia hanyalah majlis penutupan, namun aktiviti beramah-mesra tidak lupa dirancang untuk mengeratkan lagi hubungan antara diff-diff jemputan dan peserta-peserta kursus ini. Gelak tawa dan senyuman yang diukir di muka setiap diff-diff jemputan dan peserta merupakan kutipan yang bermakna di setiap perancangan untuk menghiburkan hadirin malahan untuk mengurangkan jurang antara hadirin.










Jamuan ringan yang disediakan mengakhiri majlis penutupan serta Kursus Pertolongan Cemas Asas BSMM Detachment 88E pada kali ini. Sesungguhnya, kursus ini mengambil masa perancangan yang teliti dan panjang, tetapi hasil penilaian yang mencatatkan kelulusan hampir kesemua peserta kursus ini membuktikan keberkesanan kursus ini. Kejayaan kursus ini membuktikan usahasama antara ahli-ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus serta kerjasama setiap ahli dan peserta yang hadir.




“Basic is knowledge”

Tema untuk Kursus Pertolongan Cemas Asas (KPCA) BSMM Detachment 88E sesi akademik 2009/2010 jelas menunjukkan objektif disebalik kursus ini dan keputusan setiap menandakan keberkesanan kursus ini.




Pengakhiran kursus ini bukan menandakan titik nokhtah akan tetapi menandakan sebuah permulaan kepada usaha yang baru untuk menimba ilmu pertolongan cemas lanjutan agar ilmu pertolongan yang didapati senantiasa mengikut piawai selaras dengan BSMM dan senantiasa selamat untuk digunakan ketika kecemasan.










No comments:

Post a Comment