Friday, January 29, 2010

17-23 November 2009: Kursus Bakal Jurulatih (KBJ)


Kursus Bakal Jurulatih (KBJ) diadakan untuk ahli BSMM yang berminat untuk mendapatkan sijil Jurulatih dan memberi sumbangan kepada BSMM. Sebagai seorang jurulatih, beliau seharusnya mempunyai ilmu pertolongan cemas yang lebih lanjut lagi berbanding dengan ahli-ahli BSMM. Beliau juga seharusnya merupakan seorang yang berpengalaman dalam menyampaikan ilmu pertolongan cemas kepada ahli-ahli BSMM yang baru.

Sebelum itu, selaku bakal jurulatih, seseorang itu perlu menduduki ceramah yang meliputi Pertolongan Cemas Asas dan Lanjutan, Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Rawatan Rumah, Pendidikan Kesihatan, Kaedah Mengajar, Pengurusan dan Pentadbiran serta Ceramah Bencana dan Operasi Menyelamat.

Pada hari pertama kursus, kita telah diberikan ceramah Kursus Pertolongan Cemas Asas dan Lanjutan oleh Tuan Muniandy, seorang ahli BSMM yang berpengalaman terutamanya dalam prosedur melakukan CPR. Ceramah tersebut meliputi segala fakta dan informasi daripada ilmu pertolongan cemas asas ke lanjutan. Tuan Muniandy merupakan seorang penceramah yang berpengalaman dalam mengajar. Beliau juga seorang yang suka menggunakan cara mengajar 2 hala, di mana beliau menanya dan peserta kursus menjawab. Beliau juga tidak lupa menunjukkan demonstrasi melakukan CPR ke atas bayi, kanak-kanak dan dewasa. Sesi pengajaran beliau juga membolehkan peserta kursus untuk melakukan latihan praktikal CPR. Sesungguhnya, sesi pembelajaran bersama beliau amatlah bermakna dan berinformasi.

Ceramah Pertolongan Cemas Asas dan Lanjutan diteruskan oleh En. Zanuddin dengan tajuk asfiksia dan tercekik, luka dan pendarahan, renjatan serta keracunan. En. Zanuddin merupakan seorang pengajar yang menarik dan sering memberikan contoh-contoh yang membolehkan sesi pembelajaran lebih mudah diserap.

Pada hari ke-2 kursus, ceramah diteruskan dengan Rawatan Rumah (Home Nursing) oleh senior, menggantikan En. Zanuddin yang tidak boleh hadir kerana ada urusan penting yang lain. Beliau merupakan seorang pengajar yang begitu aktif dan ceria. Walaupun beliau seorang pengajar yang muda, tetapi beliau menyampaikan maklumat penting dengan berkesan. Selepas ceramah Rawatan Rumah, peserta kursus diberikan tugasan perbentangan berkaitan dengan Rawatan Rumah kepada setiap ahli kumpulan. Masing-masing diverikan masa selama 3 jam untuk membuat persediaan yang secukupnya bagi perbentangan pada jam 2 petang. Pada sebelah malam pula, kursus diteruskan dengan ceramah Pendidikan Kesihatan oleh En. Zanuddin. Beliau menjelaskan kepentingan menjaga kebersihan makanan, rumah, diri dan bahaya umum kesihatan. Walaupun masa yang diberikan singkat, namun beliau sempat untuk menyampaikan kesemua fakta-fakta penting dalam Pendidikan Kesihatan.

Hari ke-3 kursus diteruskan dengan aktiviti riadah dan senaman bersama-sama di Tasik Fakulti Kejuruteraan. Selepas itu, kami berkumpul semula di FST untuk membuat perbincangan mengenai fakta di dalam Buku Panduan BSMM No 1 sehingga 9. Program pada hari itu diteruskan dengan sesi ulangkaji pengangkutan. Pada sebelah malam pula, Ujian Lisan Pertolongan Cemas Asas telah diadakan dan melibatkan perbentangan secara berkumpulan.

Hari ke-4 kursus merupakan hari yang dipenuhi dengan jadual ujian penilaian dimulakan dengan Ujian Teori Pertolongan Cemas Asas pada sebelah pagi diikuti dengan Ujian Kertas Pendidikan Kesihatan pada waktu petang.

Hari Sabtu iaitu hari ke-5 kursus, program dimulakan dengan ceramah Pengurusan dan Pentadbiran oleh Senior Lim Tau Wei. Beliau menyampaikan fakta-fakta penting mengenai prosedur yang perlu dilalui semasa merancang aktiviti serta carta organisasi yang penting dalam BSMM. Sesungguhnya, kami difahamkan bahawa setiap prosedur perlulah dipatuhi. Kemudian Cik Amy Poh Ai Ling telah dijemput khas untuk memberikan ceramah mengenai Pendidikan Palang Merah & BSMM serta Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa. Program dipenuhi dengan ceramah yang mengandungi pelbagai maklumat dan fakta penting.

Hari ke-6 KBJ, program dimulakan dengan Ceramah Bencana dan Operasi Menyelamat (BBOM) pada awal pukul 9 ke 12 tengah hari dan diteruskan dengan Ujian BBOM. Selepas rehat, program hari itu diteruskan dengan Ujian Teori UUKA yang berlangsung selama sejam. Perbentangan Kaedah Mengajar menyusul kemudian mengakhiri program pada hari ke-6 Kursus Bakal Jurulatih.

Hari ke-7 iaitu hari terakhir Kursus Bakal Jurulatih diteruskan dengan Ujian Praktikal Pertolongan Cemas Asas pada sebelah pagi diikuti dengan Ujian Kertas Kaedah Mengajar dan Ujian Kertas Pengurusan dan Pentadbiran.

Kursus Bakal Jurulatih ini bukan sahaja menguji kebolehan setiap peserta untuk memahami dan mengingati fakta penting dalam mempelajari ilmu pertolongan cemas malah menguji daya ketahanan dan stamina setiap peserta dengan susunan program yang begitu padat pada setiap hari. Kursus ini juga telah mewujudkan peluang untuk peserta dari Detachment berlainan untuk menjalin hubungan silaturahim yang mesra dan harmoni.

Sesungguhnya, Kursus Bakal Jurulatih ini telah memberikan pengalaman yang berbeza dan menarik dalam mengisi cuti semester pada sesi akademik 2009/2010 ini.


11 Oktober 2009: Kursus Bantuan Bencana Alam dan Operasi Menyelamat (BBOM)


Kursus Bantuan Bencana Alam dan Operasi Menyelamat (BBOM) ini telah diadakan di kolej Ibu Zain pada 11 Oktober 2009 seawal jam 8 pagi sehingga 5.30 petang. Selepas majlis perasmian, program dimulakan dengan ceramah mengenai struktur organisasi pasukan penyelamat untuk beroperasi ketika bencana alam berlaku.

Selain itu, penceramah En. Jilani telah mengajar cara-cara mengikat tali dan cara-cara untuk membuat stretcher seperti dengan hanya menggunakan baju dan kayu sahaja. Ini sesuai diaplikasikan semasa keperluan pertolongan cemas adalah terhad.

Pada sebelah petang pula, kami diberikan sesi praktikal. Semua peserta telah dibahagikan kepada kumpulan yang berbeza mengikut zon-zon warna seperti semasa bencana. Tugasan yang diberikan adalah untuk menyelamatkan mangsa daripada tempat bencana mengikut zon-zon warna dan menghantar mangsa kembali ke station penyelamat.

Sesungguhnya, program yang dirancang sepanjang hari begitu menyeronokkan selain ilmu tambahan tang berguna kepada setaip peserta yang hadir pada hari itu. Semua pulang dengan ilmu yang berharga dan sesi praktikal yang menjadi kenangan kerana ini merupakan kali pertama setiap ahli BSMM diberi peluang untuk merancang cara menyelamatkan mangsa semasa bencana. Kursus Bantuan Bencana Alam dan Operasi Menyelamat (BBOM) ini telah memberikan banyak manfaat kepada setiap ahli BSMM yang hadir. Diharapkan kursus ini dapat dirancang lagi bagi sesi akademik yang baru dan kursus lanjutan dapat diadakan juga.

8 Oktober 2009: Hari Keluarga


Hari Keluarga BSMM Detachment 88E adalah hari di mana semua ahli BSMM akan berkumpul bersama. Hari Keluarga BSMM Detachment 88E bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli BSMM yang mengambil hari dan masa duti slot yang berbeza.



“Kindness Always Return”

Begitulah tema Hari Keluarga Detachment 88E pada kali ini. Maksud tema pada kali ini apabila untuk mengingatkan setiap insan untuk sentiasa mengamalkan sikap ingin berbuat baik kepada sesiapa tidak kira di mana asalkan diperlukan. Ini sejajar dengan objektif BSMM yang sentiasa menghulurkan bantuan tidak kira di mana jua kita berada. Budi baik yang kita hulurkan akan kemudian akan bersambung dan akhirnya akan dihulurkan semual kepada kita semasa kita pula memerlukannya.




Tujuan Hari Keluarga ini diadakan adalah untuk mengeratkan silahturahim antara ahli Bulan Sabit Merah Malaysia Detachment 88E. Dalam universiti yang sentiasa mengejar kecemerlangan, sering kali ahli-ahli BSMM Detachment 88E dapat berkumpul secara beramai seperti hari ini. Oleh itu, BSMM Detachment 88E ingin menggunakan peluang emas ini untuk mengumpulkan semua ahli BSMM Detachment 88E untuk keluar beriadah bersama-sama selain ingin memberi peluang kepada mereka untuk semakin memahami antara satu sama lain bagi memudahkan kelancaran program yang akan dijalankan kelak.




Ahli jawatankuasa pelaksana Hari Keluarga amat bersyukur dengan adanya kehadiran Dr. Ruslin selaku Pengetua Kolej walaupun sibuk dengan urusan-urusan yang lain serta kehadiran kakitangan pengurusan dan pentadbiran kolej yang begitu dedikasi dan senantiasa menyokong aktiviti anjuran BSMM Detachment 88E. Kehadiran diff-diff jemputan, En.Zanuddin, En. Shah Johan, Cik Amy Poh serta tetamu jemputan khas kami menjadikan Hari Keluarga pada kali ini lebih bermakna lagi.




Hari Keluarga juga menyaksikan penyampaian Piala Dr. Ruslin kepada pemenang Program E’s Idol yang telah mendapat markah perolehan yang tinggi semasa mengharungi permainan yang diadakan semasa dalam Program E’s Idol.







Pelbagai permainan sukaneka telah dirancang khas untuk membawa keriangan di samping menguatkan hubungan silaturahim di antara diff-diff jemputan khas dengan ahli-ahli BSMM Detachment 88E. Gelak tawa yang kedengaran memeriahkan lagi suasana Hari Keluarga pada kali ini.












Hari Keluarga BSMM Detachment 88E berakhir dengan jamuan ringan yang disediakan khas untuk setiap diff-diff jemputan yang sudi meluangkan masa bersama kami. Suasana yang mesra semasa jamuan ringan menyakinkan pihak pelaksana bahawa keriangan dapat dibawa kepada setiap hadirin pada malam tersebut.






Di sebalik kejayaan Hari Keluarga ini, tidak juga dilupakan usaha dan kerjasama yang disumbangkan oleh setiap ahli pelaksana serta barisan senior yang senantiasa memberikan bimbingan dan sokongan kepada kami.









"Kindness always Return
Thus, never forget to pass around.
You'll never know when you will receive the kindness again."

=BSMM Det 88E sesi 2009/2010=